KERAJAAN MALAYSIA
KEMENTERIAN KESEJAHTERAAN BANDAR,
PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN
No. 51, PERSIARAN PERDANA, PRESINT 4,
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62100 PUTRAJAYA
PEKELILING KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN
DAN
KERAJAAN TEMPATAN
BILANGAN 3 TAHUN 2014
GARIS PANDUAN PENUBUHAN JAWATANKUASA
PERWAKILAN
PENDUDUK DALAM KAWASAN PIHAK BERKUASA
TEMPATAN
KEMENTERIAN KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN
DAN
KERAJAAN TEMPATAN
PEKELILING KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN KESEJAHTERAAN BANDAR,
PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN
BILANGAN 3 TAHUN 2014
GARIS PANDUAN PENUBUHAN JAWATANKUASA
PERWAKILAN PENDUDUK (JPP) DALAM
KAWASAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)
TUJUAN
Pekeliling ini bertujuan untuk memberi penjelasan serta panduan kepada Pihak
Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pejabat Pembangunan
Persekutuan Negeri (PPPN) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri (JPPN)
mengenai Garis Panduan Penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk
Dalam Kawasan Pihak
Berkuasa Tempatan.
copywrite from
LATAR BELAKANG
2. Garis Panduan ini disediakan untuk menjelaskan kaedah pelantikan anggota
Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dalam kawasan PBT serta hal-hal
berkaitan supaya pelaksanaannya lebih teratur, cekap dan seragam.
3. Garis Panduan ini adalah selaras dengan keputusan Meyuarat Jemaah
Menteri pada 16 Oktober 2013 dan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan
Ke-67 pada 4 Mac 2014 yang telah bersetuju dengan penubuhan JPP serta
diwujudkan garis panduan untuk rujukan PBN, PBT serta PPPN dan JPPN berkaitan.
PEMAKAIAN GARIS PANDUAN PENUBUHAN JAWATANKUASA PERWAKILAN
PENDUDUK DALAM KAWASAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN
4. Garis panduan ini hendaklah diguna pakai bagi menubuhkan JPP di setiap
zon dalam kawasan PBT.
5. Garis Panduan Penubuhan JPP dalam kawasan PBT adalah seperti di Lampiran.
TARIKH KUATKUASA
6. Pekeliling ini berkuatkuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.
PERTANYAAN
7. Sebarang pertanyaan dan penjelasan lanjut berhubung Pekeliling ini boleh
dikemukakan kepada:
Setiausaha Bahagian
Bahagian Kesejahteraan Bandar
No. 51, Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 PUTRAJAYA
Tel : 03-88915150
Faks : 03-88915547
PENUTUP
8. Pekeliling ini dipanjangkan kepada PBN, PBT serta PPPN dan JPPN berkaitan
untuk perhatian dan tindakan sewajarnya.
“ BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ”
“ 1Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan ”
Yang Ikhlas,
(DATO’ SERI ARPAH BINTI ABDUL RAZAK)
Ketua Setiausaha
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan
dan Kerajaan Tempatan.
Mei 2014
s.k
Semua YB Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Datuk Bandar/ Yang Dipertua,
Pihak Berkuasa Tempatan
Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor
Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang
Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan
Lampiran Kepada
Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Bilangan 3 Tahun 2014
GARIS PANDUAN PENUBUHAN JAWATANKUASA PERWAKILAN PENDUDUK (JPP) DALAM KAWASAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
ISI KANDUNGAN
Bil Perkara Muka Surat
1. Tujuan
2. Tafsiran
3. Latar belakang penubuhan JPP
4. Objektif Penubuhan JPP
5. Pelaksanaan JPP
6. Struktur Organisasi JPP
7. Peranan anggota JPP
8. Fungsi dan tugas biro
9. Pihak berkuasa melantik
10. Syarat-syarat umum pelantikan
11. Prosedur pelantikan
12. Tempoh lantikan
13. Penamatan lantikan
14. Bayaran elaun dan kemudahan
15. Pengendalian mesyuarat
16. Kursus dan latihan
17. Pemantauan
18. Laporan tahunan
19. Penubuhan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP)
20. Publisiti dan hebahan
21. Penutup
1. TUJUAN
Garis panduan ini disediakan bertujuan untuk menjelaskan syarat-syarat pelantikan
dan penamatan pelantikan Anggota Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dalam
kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta hal-hal yang berkaitan supaya pelaksanaannya
lebih teratur, cekap dan seragam.
2. TAFSIRAN
Dalam Garis Panduan ini, melainkan jika konteksnya mengkehendaki yang
lain; ”Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP)” merupakan satu entiti yang dianggotai oleh wakil masyarakat setempat
yang terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha dan lapan (8) ahli jawatankuasa seperti
berikut:
(i) Biro Kemajuan Wanita;
(ii) Biro Belia dan Sukan;
(iii) Biro Ekonomi dan Kewangan;
(iv) Biro Sosial dan ICT;
(v) Biro Aduan dan Kebajikan;
(vi) Biro Keselamatan;
(vii) Biro Pendidikan, Modal Insan dan Kerohanian; dan
(viii) Biro Kebersihan, Kesihatan dan Alam Sekitar.
”Majlis Perwakilan Penduduk (MPP)” merupakan sebuah majlis yang ditubuhkan di peringkat Pihak Berkuasa
Tempatan/ Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri/ Jabatan Pembangunan Persekutuan
Negeri bagi menyelaras perjalanan JPP di setiap zon.
”Pemimpin Tempatan Persekutuan (PTP)” merujuk kepada Ahli Parlimen atau Pemimpin Tempatan yang dipersetujui
oleh YB Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi
mewakili KPKT.
“Zon” merujuk kepada persempadanan yang ditentukan oleh
Pihak Berkuasa Tempatan/ Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri/ Jabatan
Pembangunan Persekutuan Negeri untuk dikawalselia oleh setiap JPP.
“Bermastautin” merujuk
kepada penduduk yang menetap lama di suatu tempat berdasarkan kepada alamat
tempat tinggal.
“Pihak Berkuasa Melantik” merujuk
kepada YB Menteri KPKT yang diberi kuasa secara sah untuk melantik Pengerusi
JPP dan Ketua Setiausaha KPKT yang diberi kuasa secara sah untuk melantik Setiausaha
dan ahli JPP.
3. LATAR BELAKANG PENUBUHAN JPP
3.1 Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, pentadbiran Kerajaan Tempatan
terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Namun, Kerajaan Persekutuan
boleh membuat dasar dan perundangan bagi tujuan penyelarasan dan keseragaman. Selaras
dengan pendekatan Kerajaan bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan
kepada masyarakat, fungsi KPKT telah diperluaskan dengan penambahan aspek kesejahteraan
bandar.
3.2 Kepesatan proses perbandaran menyebabkan isu-isu perbandaran menjadi
semakin kompleks. Penubuhan JPP dilihat dapat membantu PBT bergerak
bersama-sama dengan penduduk sebagai satu pasukan bagi menangani pelbagai isu kesejahteraan
bandar.
3.3 Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 16 Oktober 2013 telah
bersetuju dengan perkara-perkara seperti berikut:
(i) penubuhan JPP dalam kawasan PBT serta pemberian elaun;
(ii) penubuhan Majlis Perwakilan Penduduk; dan
(iii) pewujudan Unit Kesejahteraan Bandar.
4. OBJEKTIF PENUBUHAN JPP
4.1 Status JPP adalah berbeza dengan status Ahli Majlis PBT. PBT merupakan
sebuah pertubuhan perbadanan (body
corporate) dan juga satu entiti undang-undang dan agensi penguatkuasaan,
manakala JPP adalah bersifat pentadbiran yang bukan merupakan entiti
undang-undang dan bukan agensi penguatkuasaan. Fungsi JPP hanyalah bertujuan
membantu orang awam dalam sesuatu komuniti untuk bergiat aktif dalam proses
pentadbiran kerajaan tempatan.
4.2 Penubuhan JPP akan memberi peluang dan menggalakkan penyertaan
penduduk (public participation) dalam programprogram dan pembangunan di kawasan bandar bagi meningkatkan
kemampanan kejiranan (neighbourhood sustainability). Sehubungan itu, penduduk berpeluang melibatkan diri dalam mengemukakan
pandangan dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat untuk diambil tindakan
oleh Kerajaan.
4.3 Penubuhan JPP juga dilihat sebagai salah satu medium bagi KPKT
membawa sebarang isu perbandaran seperti perumahan dan pengurusan sisa pepejal
termasuk isu-isu yang terletak di bawah bidangkuasa persekutuan seperti
kesihatan, pengangkutan, alam sekitar dan keselamatan.
4.4 JPP yang diwujudkan akan bergerak sebagai satu entiti yang dianggotai
oleh wakil masyarakat setempat bagi mendokong dan memantau pelaksanaan
program-program pembangunan, kemasyarakatan dan modal insan yang dilaksanakan sepenuhnya
oleh Kerajaan Persekutuan di samping menangani isu-isu perbandaran dan penyampaian
perkhidmatan secara berterusan di kawasan setempat. Tiga objektif utama penubuhan
JPP adalah seperti berikut:
(i) menggalakkan penyertaan penduduk dalam
program dan pembangunan kawasan setempat;
(ii) membantu menangani isu-isu
kesejahteraan Bandar dan seterusnya meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan; dan
(iii) mewujudkan hubungan yang
baik di antara masyarakat di kawasan kejiranan setempat.
5. PELAKSANAAN JPP
5.1 JPP akan ditubuhkan di 148 PBT seluruh negara kecuali Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, PBT Taman
Perindustrian Hi-Tech Kulim, Lembaga Bandaran Johor Tenggara dan Lembaga
Kemajuan Tioman.
5.2 Setiap PBT diperuntukkan sebanyak 24
zon. Walau bagaimanapun, Pihak Berkuasa Negeri (PBN)
dan PBT dibenarkan untuk membuat pengubahsuaian bilangan zon di setiap PBT
berdasarkan densiti penduduk dan isu berbangkit di PBT tertentu. Sebarang
pengubahsuaian bilangan zon hendaklah tidak
melebihi bilangan maksimum zon yang ditetapkan
bagi setiap negeri seperti di Jadual
1.
6. STRUKTUR ORGANISASI JPP
Anggota JPP adalah terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha dan lapan (8)
ahli jawatankuasa. Carta organisasi JPP adalah seperti di LAMPIRAN A.
7. PERANAN ANGGOTA JPP
7.1 Pengerusi
· Berperanan sebagai ketua dan pemimpin jawatankuasa
di peringkat zon yang bertanggungjawab dalam merancang, menyatupadukan penduduk
serta membantu Kerajaan mengenalpasti isu perbandaran bagi meningkatkan kualiti
hidup masyarakat di bandar.
· Ahli dalam Majlis Perwakilan Penduduk.
· Mempengerusikan mesyuarat JPP dan memantau aktiviti
biro-biro yang ditubuhkan.
· Mengadakan mesyuarat JPP sekurang-kurangnya dua
bulan sekali.
· Menentukan pengagihan tugas JPP melalui penubuhan
birobiro.
· Menghadiri mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan di peringkat
PBT (sekiranya perlu).
· Menyelaras pelaksanaan program dan projek dengan penglibatan
komuniti setempat menggunakan pendekatan bottom
up.
· Menyelaras dan mengemaskini maklumat profil zon.
· Mewujudkan perpaduan di kalangan penduduk setempat
melalui penyertaan aktif komuniti dalam aktiviti kemasyarakatan.
· Mengemukakan semua aduan, masalah dan maklum balas yang
diterima mengenai keperluan masyarakat setempat untuk diambil tindakan oleh PBT
atau jabatan/ agensi berkaitan.
· Menyampaikan maklumat, memberi penjelasan dan mengambil
tindakan mengenai arahan-arahan Kerajaan.
· Menjadi penghubung antara penduduk dengan PBT dan Jabatan/
Agensi Kerajaan (Community Coordinator).
7.2 Setiausaha
· Membantu Pengerusi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab
kesetiausahaan dalam JPP.
· Mengeluarkan surat panggilan mesyuarat.
· Menyediakan minit mesyuarat dan mengedarkannya
kepada semua ahli mesyuarat dan Unit Kesejahteraan Bandar (UKB) dalam tempoh
tujuh (7) hari dari tarikh mesyuarat diadakan.
· Menyediakan semua surat dan laporan yang berkaitan dengan
program dan aktiviti JPP.
· Membuat makluman dan hebahan kepada penduduk mengenai
aktiviti/ kempen/ isu semasa melalui saluran komunikasi yang sesuai.
· Membantu Pengerusi dalam memantau pelaksanaan
setiap program dan aktiviti JPP.
7.3 Ahli Jawatankuasa
· Menjadi pengerusi kepada mana-mana biro yang
ditentukan oleh JPP.
· Melantik ahli kepada mana-mana jawatankuasa kecil
yang ditubuhkan.
· Memberi cadangan dan pandangan berhubung isu dan masalah
setempat serta kaedah untuk melaksanakan sesuatu program dan aktiviti.
· Menerima maklum balas, aduan dan masalah yang dikemukakan
oleh penduduk setempat.
· Memberi penjelasan dan mendapatkan sokongan serta penyertaan
penduduk dalam program dan aktiviti JPP.
· Memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan setiap
program dan aktiviti JPP dilaksanakan dengan berkesan.
8. FUNGSI DAN TUGAS BIRO
8.1 Biro Kemajuan Wanita
· Merancang dan melaksanakan aktiviti yang sesuai
bagi menggalakkan penglibatan aktif kaum wanita dalam komuniti setempat.
· Memastikan kepentingan golongan wanita di kawasan setempat
tidak terabai terutamanya golongan wanita yang daif dan ibu tunggal.
· Mengenalpasti peluang-peluang meningkatkan
pendapatan dan kemahiran yang ditawarkan oleh pelbagai jabatan/ agensi/ pihak
swasta khususnya dalam pembangunan wanita.
8.2 Biro Belia dan Sukan
· Mengadakan aktiviti yang dapat memupuk dan menggalakkan
semangat kerjasama dan kesukarelawan dengan kerjasama 1M4U dan jabatan/ agensi
berkaitan.
· Merancang dan melaksanakan aktiviti sukan dengan melibatkan
komuniti setempat.
· Mengenalpasti keperluan kemudahan sukan dan
rekreasi bagi komuniti setempat untuk dikemukakan kepada PBT dan jabatan/
agensi berkaitan.
8.3 Biro Ekonomi dan Kewangan
· Menggerakkan masyarakat untuk melaksanakan program/aktiviti
ekonomi berdasarkan potensi dan sumber-sumber yang ada.
· Merancang dan melaksanakan kegiatan ekonomi yang lestari.
8.4 Biro Sosial dan ICT
· Mengenalpasti dan melaksanakan program kesenian dan
kebudayaan yang sesuai.
· Menggalakkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT) di kalangan komuniti setempat.
8.5 Biro Aduan dan Kebajikan
· Menerima dan menyelaras semua aduan, masalah,
maklum balas dan keperluan penduduk setempat untuk dikemukakan kepada PBT atau
jabatan/ agensi berkaitan.
· Mengenalpasti jenis-jenis bantuan yang disediakan
oleh jabatan/ agensi kerajaan dan menyelaras permohonan bantuan tersebut untuk
penduduk yang layak.
· Mengenal pasti penduduk miskin di kawasan setempat
dan memantau senarai penduduk miskin di bawah program e-Kasih.
· Menyusun keperluan kesejahteraan penduduk mengikut keutamaan.
8.6 Biro Keselamatan
· Mengawasi dan melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai
kegiatan yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan kawasan setempat.
· Mengadakan aktiviti dan taklimat bersama agensi keselamatan
bagi meningkatkan keprihatinan masyarakat setempat.
· Bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengawasi keselamatan
kawasan kejiranan.
· Mengawalselia harta dan kemudahan awam bersama-sama
komuniti setempat supaya sentiasa dalam keadaan baik dan boleh digunakan.
8.7 Biro Pendidikan, Modal Insan dan Kerohanian
· Memupuk budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang
hayat.
· Bekerjasama dengan institusi kerajaan, swasta dan
NGO dalam usaha menyediakan aktiviti pembelajaran bagi mempertingkatkan
kecemerlangan pendidikan pelajar.
· Mendapatkan maklumat daripada jabatan/ agensi
berkaitan berhubung peluang latihan kemahiran dan kemajuan kerjaya untuk
disertai oleh masyarakat setempat.
· Mengenalpasti skim dan program bantuan pendidikan
yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar.
· Memelihara keharmonian beragama dalam masyarakat
yang berbilang kaum.
8.8 Biro Kebersihan, Kesihatan dan Alam Sekitar
· Merancang dan melaksanakan aktiviti yang
menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
· Membantu agensi kerajaan dalam menjalankan khidmat nasihat
dan penguatkuasaan undang-undang dalam mencegah wabak penyakit.
· Mewujudkan jaringan kerjasama dengan klinik
kesihatan/ swasta untuk pelaksanaan program kesihatan.
· Menggalakkan masyarakat setempat menjaga kebersihan
persekitaran, kebersihan awam dan kemudahan awam.
9. PIHAK BERKUASA MELANTIK
Pihak berkuasa melantik bagi anggota JPP adalah seperti di Jadual 2 berikut:
10. SYARAT-SYARAT UMUM PELANTIKAN
10.1 Semua pelantikan Anggota JPP hendaklah memenuhi syaratsyarat umum
seperti berikut:
(i) penduduk yang bermastautin di dalam zon tersebut;
(ii) warganegara Malaysia yang berumur di antara 21 hingga 65 tahun;
(iii) kelayakan akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan
setaraf dengannya;
(iv) keutamaan diberikan kepada individu yang bergiat aktif dalam
pertubuhan, persatuan atau kerja-kerja amal;
(v) tidak diisytiharkan muflis;
(vi) tidak mempunyai sebarang rekod jenayah;
(vii) bukan di kalangan Ahli Majlis yang sedang berkhidmat;
(viii) pemilihan calon JPP dari kalangan penjawat awam dan golongan profesional adalah wajar digalakkan untuk membuka minda dan melaksanakan transformasi pengurusan bandar; dan
(ix) lain-lain syarat yang ditetapkan dari semasa ke semasa oleh KPKT.
10.2 Pemilihan Pengerusi hendaklah dari kalangan opinion leaders yang
berpengaruh serta bersesuaian dengan taraf sosial dan pemikiran masyarakat
setempat. Opinion leaders merupakan individu yang dapat menyumbang idea dan membuat keputusan serta menjadi role model kepada penduduk
setempat.
10.3 Pelantikan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jumlah anggota
JPP adalah daripada golongan belia yang berumur 21 hingga 40 tahun.
11. PROSEDUR PELANTIKAN
11.1 Prosedur pelantikan bagi Pengerusi JPP adalah seperti berikut:
(i) Datuk Bandar/ YDP bersama Pemimpin Tempatan Persekutuan (PTP)
mengenalpasti calon;
(ii) Sesi temuduga oleh panel penemuduga yang dipengerusikan oleh Datuk
Bandar/ YDP/ PTP sekiranya terdapat lebih daripada seorang calon;
(iii) calon yang telah diperakukan
oleh Datuk Bandar/ YDP/ PTP akan dikemukakan kepada YB Menteri KPKT untuk kelulusan
pelantikan; dan
(iv) surat tawaran lantikan akan dikeluarkan oleh KPKT dengan menyatakan
tempoh kuat kuasa lantikan tidak melebihi dua (2) tahun.
11.2 Prosedur pelantikan bagi Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa adalah
seperti berikut:
(i) Pengerusi JPP bersama Datuk Bandar/ YDP dan PTP mengenalpasti calon;
(ii) Pengerusi JPP perlu memastikan calon yang dipilih hendaklah mewakili
keseluruhan kawasan dalam zon tersebut serta mengambil kira kuota bagi belia,
wanita dan juga komposisi kaum;
(iii) calon yang telah diperakukan oleh Datuk Bandar/YDP/PTP akan
dikemukakan kepada Ketua Setiausaha KPKT untuk kelulusan pelantikan; dan
(iv) surat tawaran lantikan akan dikeluarkan oleh KPKT dengan menyatakan
tempoh kuat kuasa lantikan tidak melebihi dua (2) tahun.
11.3 Carta alir bagi prosedur pelantikan Pengerusi adalah seperti di LAMPIRAN B manakala bagi
Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa adalah seperti di LAMPIRAN C.
11.4 Bagi negeri-negeri yang tidak ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan,
peranan Datuk Bandar/ YDP dalam urusan pencalonan diambil alih oleh Pegawai Kemajuan Negeri di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri/ Jabatan Pembangunan
Persekutuan Negeri. Carta alir bagi prosedur pelantikan bagi anggota JPP bagi
negeri-negeri yang tidak ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan adalah seperti di LAMPIRAN D dan LAMPIRAN E.
12. TEMPOH LANTIKAN
Tempoh lantikan anggota JPP bagi satu (1) penggal adalah tidak melebihi
dua (2) tahun. Tempoh lantikan ini boleh dilanjutkan oleh Pihak Berkuasa Melantik
berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh anggota JPP dalam tempoh perkhidmatan dan tempoh maksimum
pelantikan adalah dua (2) penggal sahaja. Pelanjutan
tempoh lantikan bagi jawatan Pengerusi hendaklah diperakukan oleh Pengerusi MPP
setelah berunding dengan PTP manakala bagi Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa
hendaklah diperakukan oleh Pengerusi JPP. Cadangan pelanjutan tempoh lantikan
hendaklah dikemukakan kepada Bahagian Kesejahteraan Bandar, KPKT dua (2) bulan
sebelum tempoh pelantikan tamat.
13. PENAMATAN LANTIKAN
13.1 Lantikan anggota JPP boleh ditamatkan pada bila-bila masa oleh
Pihak Berkuasa Melantik dengan syor dan perakuan Pengerusi MPP atas sebab-sebab
berikut:
(i) dilucutkan kewarganegaraan;
(ii) diisytiharkan muflis oleh mahkamah;
(iii) berpindah dari kawasan PBT yang diduduki;
(iv) disabitkan oleh mahkamah dengan kesalahan jenayah;
(v) diperakukan oleh pengamal perubatan kerajaan bahawa anggota
berkenaan tidak sihat atau menghidap penyakit kronik;
(vi) gagal hadir ke mesyuarat tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang
munasabah; dan
(vii) lain-lain sebab yang diputuskan oleh Pihak Berkuasa Melantik.
13.2 Mana-mana anggota JPP yang berhasrat untuk melepaskan jawatan
hendaklah mengemukakan notis bertulis
dalam tempoh
30 hari kepada Bahagian Kesejahteraan Bandar, KPKT.
13.3 Pengerusi JPP perlu memastikan sebarang kekosongan dalam jawatan
JPP atas apa-apa sebab perlu diisi seperti ketetapan di perenggan 9, 10,11 dan 12 Garis
Panduan ini.
14. BAYARAN ELAUN DAN KEMUDAHAN
14.1 Kadar elaun bulanan bagi anggota JPP adalah seperti di Jadual 3:
14.2 Pengerusi dan Setiausaha JPP layak menerima kemudahan rawatan kelas
kedua di Hospital Kerajaan dengan maksimum RM500.00 bagi setiap tuntutan.
14.3 Setiap JPP akan menerima Elaun Keraian Mesyuarat tidak melebihi
RM100.00 setiap mesyuarat dengan maksimum kekerapan 6 kali setahun.
15. PENGENDALIAN MESYUARAT
Mesyuarat JPP perlulah dikendalikan mengikut kelaziman peraturan-peraturan
mesyuarat dan meliputi perkara seperti berikut:
(i) Mesyuarat JPP hendaklah diadakan sekurang-kurangnya
2 bulan sekali. Walau bagaimanapun, adalah digalakkan untuk bermesyuarat dengan lebih kerap. Notis mesyuarat
perlu diedarkan
kepada semua ahli dalam tempoh tiga
(3) hari sebelum tarikh mesyuarat melalui kaedah yang
ditetapkan oleh JPP;
(ii) Korum bagi mesyuarat JPP hendaklah sekurang-kurangnya dua pertiga (2/3) daripada
jumlah anggota JPP iaitu 7 daripada 10 orang;
(iii) Ketetapan yang dibuat dalam mesyuarat JPP hendaklah mendapat persetujuan majoriti. Sekiranya
tiada persetujuan majoriti dicapai, maka Pengerusi JPP mempunyai kuasa penuh untuk
membuat ketetapan; dan (iv) Minit mesyuarat hendaklah diedarkan kepada semua
anggota JPP dan salinannya kepada Bahagian Kesejahteraan Bandar, KPKT dalam tempoh 7 hari selepas tarikh mesyuarat.
16. KURSUS DAN LATIHAN
KPKT akan melaksanakan kursus dan latihan kepada anggota JPP bagi
meningkatkan pengetahuan mengenai asas pengurusan JPP dan pelaksanaan aktiviti
kemasyarakatan. Pelaksanaan kursus dan latihan serta kelayakan untuk mengikutinya
akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
17. PEMANTAUAN
Pemantauan prestasi JPP akan dilaksanakan oleh KPKT bagi memastikan JPP
melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Bagi tujuan tersebut, Penanda Aras
Utama (Key Performance Indicator – KPI) akan diwujudkan dengan menggariskan pencapaian utama antaranya
seperti berikut:
(i) mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya dua bulan sekali;
(ii) melengkap dan mengemaskini profil zon setahun sekali;
(iii) pengurangan bilangan golongan miskin di kawasan setempat;
(iv) pengurangan masalah sosial di kawasan setempat;
(v) peningkatan pendapatan penduduk kesan dari aktiviti ekonomi yang
diusahakan; dan
(vi) bilangan aktiviti atau program yang dijalankan.
18. LAPORAN TAHUNAN
Setiap JPP perlu menyediakan laporan tahunan program dan aktiviti JPP
dan dihantar ke Bahagian Kesejahteraan Bandar, KPKT sebelum 15 Januari tahun berikutnya.
19. PENUBUHAN MAJLIS PERWAKILAN PENDUDUK (MPP)
19.1 Bagi melengkapkan struktur serta fungsi JPP, MPP akan ditubuhkan di
setiap PBT bagi menyelaras dan memastikan kelancaran perjalanan JPP di setiap
zon. MPP akan dipengerusikan oleh Datuk Bandar/ YDP/ PTP/ wakil yang akan dilantik
oleh YB Menteri KPKT. Keahlian MPP adalah terdiri daripada Pengerusi JPP di setiap
zon, PTP dan Ketua-ketua Jabatan Persekutuan/ Negeri di kawasan PBT. Struktur Organisasi
MPP adalah seperti di LAMPIRAN F.
MPP perlu bersidang sekurang-kurangnya dua
(2) kali setahun dan urus setia MPP adalah Unit Kesejahteraan Bandar
PBT masingmasing.
19.2 Peranan utama MPP adalah seperti berikut:
(i) menyelaras pelaksanaan program kesejahteraan Bandar di setiap zon
JPP;
(ii) mendapatkan maklum balas bagi isu-isu kesejahteraan bandar; dan
(iii) meneliti dan membincangkan cadangan program dan projek pembangunan
di peringkat JPP.
20. PUBLISITI DAN HEBAHAN
Semua maklumat berkaitan penubuhan MPP dan JPP termasuk program dan
aktiviti hendaklah dipaparkan di laman web rasmi PBT/ Pejabat Pembangunan Persekutuan
Negeri/ Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri. Selain itu, hebahan juga boleh
dibuat melalui saluran-saluran seperti buletin, risalah, poster dan papan
iklan.
21. PENUTUP
Garis panduan ini sewajarnya dapat memberi panduan dan rujukan dalam
membantu KPKT, Pihak Berkuasa Negeri, PBT, Pejabat Pembangunan Persekutuan
Negeri/ Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri dan pihak-pihak yang berkaitan
dalam mewujud dan memantapkan penubuhan JPP dalam kawasan PBT.
Bahagian Kesejahteraan Bandar Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Mei 2014
http://jkt.kpkt.gov.my/jkt/resources/PDF/Pekeliling%20JKT/2014/Garis_Panduan_JPP_final_printing_16.7_.14_.pdf
Comments
Post a Comment